Ini kerana kata beliau, kerajaan Kedah sedang merancang beberapa projek yang dijangka memberi impak terhadap aliran air Sungai Muda yang pada masa ini menjadi sumber air mentah Pulau Pinang.
“Projek-projek ini apabila dilaksanakan akan beri masalah kepada mereka (Pulau Pinang) jika tidak bayar (caj air mentah), tak apa dia gunalah (secara percuma), sampai hari keluar air selut, dia gunalah air (selut) tu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Pejabat Daerah dan Tanah Yan, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow baru-baru ini yang dilaporkan enggan memanjangkan isu penggunaan sumber air dari Sungai Muda, sebaliknya memilih untuk mempertahankan hak riparian negeri itu di mahkamah.
Muhammad Sanusi yang pernah menyatakan kesediaan untuk bersemuka di mahkamah berhubung isu itu bagaimanapun berkata pihaknya masih membuka ruang kepada Pulau Pinang untuk menyelesaikan perkara tersebut secara timbang tara.
“Proses (perbincangan isu air) mungkin sampai ke peringkat mahkamah, tapi saya akan mohon kerjasama kerajaan persekutuan khususnya Kementerian Alam Sekitar dan Air untuk adakan proses timbang tara bagi mengatasi hal ini.
“Kalau timbang tara itu tidak dapat dijayakan mungkin proses ini akan ke mahkamah... Saya akan pergilah ke hujung dunia pun untuk lawan perkara ini,” katanya.
Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata sebuah badan bertindak khas akan ditubuhkan untuk mengutip tunggakan hasil atau cukai yang kini mencecah lebih RM257 juta.
Katanya antara tunggakan cukai tertinggi melibatkan hasil tanah, kediaman dan pendidikan.
“Tunggakan ini ada yang sejak belasan tahun, jadi untuk pastikan hasil kerajaan ini dapat dikutip, badan bertindak ini akan mulakan operasi kutip cukai tertunggak ini dengan segera,” katanya.
- BERNAMA
Free Malaysia Today Kedah Politik Pulau Pinang Sanusi Md Nor