Virus demam babi Afrika dikesan di Sabah

Ana Ghoib Syeikh Malaya 4:33 PG
Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah diberikan kuasa untuk melaksanakan langkah pencegahan virus demam babi Afrika atau African Swine Fever. - Foto Adobe Stock

KOTA KINABALU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS) mengesahkan penemuan virus demam babi Afrika (ASF) dalam haiwan itu di Pitas.

Menteri Pertanian dan Perikanan negeri, Jeffrey Kitingan berkata, susulan pengesanan virus terbabit, kerajaan akan melaksanakan langkah pencegahan, termasuk menyembelih kumpulan babi yang dijangkiti virus itu.

“JPVS diberikan kuasa untuk melaksanakan langkah pencegahan mengikut Subseksyen 45 (1) Enakmen Haiwan 2015.

“Ia termasuk membunuh babi di kawasan yang terlibat, mengawal pergerakan babi dan mengawal penjualan produk babi yang berasal dari kawasan mempunyai virus itu.

“Dalam masa sama juga, kawasan kampung dan premis yang terjejas akan menjalani disinfeksi, selain kempen kesedaran kepada orang ramai menerusi JPVS agar mereka faham mengenai virus ASF,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, proses penyembelihan babi yang dijangkiti virus itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat kerana ASF adalah penyakit berjangkit berisiko tinggi yang belum mempunyai penawar atau vaksin.

Katanya, kerajaan juga akan mempertimbangkan pemberian ganti rugi kepada penternak yang babinya disembelih JPVS berdasarkan kadar yang akan ditentukan kemudian.

Langkah kawalan itu akan diselaraskan menerusi jawatankuasa pengurusan bencana dan beliau berharap ia diselesaikan dalam tempoh enam bulan.

“Sasaran utama kami untuk menghentikan penularan penyakit itu daripada merebak ke ladang babi komersial di Tuaran, Kota Kinabalu, Papar, Sandakan dan Tawau.”

Buat masa ini, katanya, penularan ASF tidak mempengaruhi pengeluaran babi untuk penggunaan domestik yang dianggarkan bernilai RM300 juta setahun.

“Kami mengambil maklum keputusan kerajaan Sarawak untuk melarang produk dan daging babi dari Sabah.

“Bagaimanapun, larangan itu tidak memberi kesan signifikan kepada industri daging babi di Sabah.”

Beliau mengulangi ASF hanya penyakit khusus untuk babi dan tidak berbahaya kepada manusia. - FMT