Sindiket dadah antarabangsa ‘tersungkur’, polis rampas syabu lebih RM9 juta

Ana Ghoib Syeikh Malaya 5:43 PG
Ketua Polis Pulau Pinang Sahabudin Abd Manan (kiri) menunjukkan dadah yang dirampas. (Gambar Bernama)

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa selepas menahan lima lelaki termasuk dua warga Indonesia dan merampas 263.7kg syabu bernilai RM9.49 juta dalam siri serbuan di negeri ini pada Rabu dan Khamis lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Sahabudin Abd Manan berkata, dalam kejadian Rabu lepas, Pasukan Polis Marin (PPM) yang sedang membuat rondaan Ops Benteng di kawasan perairan Teluk Tempoyak pada 6.30 petang menahan semua bot fiber dinaiki dua lelaki warga Indonesia dan pemeriksaan mendapati mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan diri.

Beliau berkata, susulan soal siasat ke atas dua lelaki yang ditahan dan diserahkan kepada unit risikan PPM itu, polis menyerbu sebuah pondok nelayan di jeti haram di tebing Sungai Keluang, Bayan Lepas, pada 4 pagi Khamis, dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun selepas menemukan 130 bungkusan mengandungi dadah dalam sebuah bot fiber yang terdapat di situ.

“Susulan pemeriksaan lanjut, polis menjumpai sebuah kereta jenis Mazda dan 115 bungkusan dadah di ruang antara tempat duduk belakang dan but kenderaan itu yang telah diubah suai untuk menempatkan dadah. Keseluruhannya 245 bungkusan dirampas di situ,” katanya pada sidang media.

Katanya, polis kemudian menyerbu sebuah rumah di Sungai Ara dan menahan seorang nelayan berusia 58 tahun dipercayai dalang utama sindiket itu di Malaysia dan lelaki yang positif dadah itu didapati mempunyai dua rekod lampau.

Sahabudin berkata, polis kemudian menahan seorang lagi lelaki berusia 57 tahun di Kuala Juru, Bukit Mertajam, yang merupakan pemilik bengkel membaiki bot, dan dia dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang menjalankan kegiatan itu sejak Disember lepas.

Katanya, kedua-dua lelaki Indonesia berusia 29 dan 33 tahun itu didapati menaiki bot dari Acheh untuk masuk ke perairan negara, menjalankan urusniaga jual beli dadah di kawasan laut bagi mengelak dikesan pihak berkuasa berikutan penguatkuasaan yang lebih ketat polis ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) ketika ini.

“Lelaki (Indonesia) berusia 33 tahun itu merupakan dalang utama di negaranya dan mereka akan datang mengambil bekalan dadah yang dibawa masuk dari Thailand sebelum (dadah) transit di Pulau Pinang menerusi jalan laut, urusniaga jual beli dadah sindiket iu dijalankan di perairan negeri,” katanya.

Beliau berkata, lelaki ketiga yang ditahan di kawasan pondok tepi jeti haram itu mempunyai 11 rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.

Menurutnya, keseluruhan syabu dirampas dalam operasi dua hari itu ialah 263.7kg dianggarkan bernilai RM9.49 juta untuk pasaran di Acheh.

“Dalam operasi itu, polis turut menyita empat kenderaan bernilai RM104,000, barang kemas bernilai sekitar RM52,000 dan wang tunai RM30,950 daripada semua mereka. Mereka direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

- BERNAMA