Polis tumpas sindiket wang kripto 'Emas Fintech' pelabur rugi RM2.8 juta

Ana Ghoib Syeikh Malaya 7:02 PTG

Zainuddin Yaakob, menunjukkan muka suspek sindiket Emas Fintech yang ditahan pihak polis. - Foto BHOnline

Polis menumpaskan satu sindiket pelaburan mata wang kripto dikenali 'Emas Fintech' yang dipercayai mengakibatkan pelabur kerugian RM2.8 juta.

BH Online melaporkan kejayaan itu berikutan penahanan sembilan lelaki, dalam satu operasi oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang, kelmarin.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob, berkata semua suspek berusia antara 34 hingga 62 tahun itu ditahan antara jam 6.20 pagi hingga 8 pagi.

"Kita terima sebanyak 43 laporan dibuat oleh mangsa pelaburan setakat ini, membabitkan kerugian keseluruhan sebanyak RM2.8 juta.

"Kami turut merampas pelbagai barangan termasuk 20 telefon bimbit, enam komputer riba, 12 kad kredit dan 10 kad mesin juruwang automatik (ATM), selain lima kenderaan mewah dan wang tunai RM27,600.

"Jumlah nilai rampasan itu hampir cecah RM2 juta. Hasil siasatan, sindiket itu menipu dengan menawarkan sistem pelaburan perdagangan mata wang digital.

"Pihak terbabit mendakwa terdapat jalinan kerjasama dengan 'exchanger' terkenal dunia seperti Binance, Liquid, Kraken dan Okcoin," katanya pada sidang media di ibu pejabat JSJK Bukit Aman, Menara KPJ, Kuala Lumpur.

Zainuddin dipetik BH Online berkata, sistem pelaburan menggunakan mata wang kripto atau bitcoin berkenaan menawarkan pelanggan pulangan antara 10 hingga 15 peratus setiap bulan.

Katanya, mangsa didedahkan dengan pelaburan berkenaan menerusi seminar dianjurkan sindiket itu menggunakan individu dikenali Ricky Wong dengan kaedah perjumpaan bersemuka dan sidang video atau 'zoom meeting'.

"Pelabur seterusnya akan diberi log masuk pengguna dalam laman web Emas Fintech untuk melihat transaksi dagangan.

"Namun selepas Disember 2020, laman web itu ditutup dan tidak dapat diakses menyebabkan pelabur berasa ditipu," katanya.

Zainuddin berkata, pihaknya masih memburu dalang utama sindiket berkenaan dikenali Jason Kellady berusia 32 tahun beralamat di C2-17-06, Parklane OUG, Jalan 1/152, Kuala Lumpur.

Semua suspek dalam tahanan reman mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Akta Pencegahan Jenayah (POCA) dan Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA).

Zainuddin berkata, syarikat diberi lesen oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM) bagi pelaburan mata wang digital ialah LUNO (M) Sdn Bhd, Tokenize Technology (M) Sdn Bhd dan Sinegy Technologies (M) Sdn Bhd.

"Orang ramai boleh menyemak dan maklumat berkaitan daripada sumber rasmi seperti polis, SSM, Bank Negara Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)," katanya.

KLIK BACA: Nazir Razak kesal Tommy dakwa pemuda melayu bawa parang keris punca 13 Mei