Sinar Harian melaporkan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, sepasukan pegawai dan anggota polis dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) melakukan serbuan di premis terbabit pada jam 5 petang.
Menurutnya, kegiatan kali pertama itu dikesan di daerah berkenaan dengan modus operandi menyewa premis bangunan tingkat dua atau tiga sebelum menyambung arus elektrik secara haram.
"Kita menjalankan serbuan di tiga premis di pekan Sabak Bernam dan sebuah lagi premis di Sungai Besar.
"Di pekan Sabak, kita merampas sebanyak 135 mesin bitcoin dalam serbuan pertama, manakala serbuan kedua dan ketiga pula masing-masing melibatkan sebanyak 105 dan 60 mesin bitcoin. Serbuan terakhir di Sungai Besar melibatkan sebanyak 120 mesin bitcoin," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.
Agus Salim berkata, ketika serbuan dilakukan, tiada sesiapa di dalam premis berkenaan dan TNB terpaksa memecahkan kunci pintu premis tersebut.
Pihaknya sedang mengesan pemilik premis bagi membantu siasatan berhubung kegiatan tersebut.
"Kita hendak mengenal pasti pemilik premis terbabit sama ada mereka menjalankan kegiatan tersebut atau premis itu disewakan kepada pihak lain," katanya.
Kegiatan sindiket mencuri elektrik bagi kegiatan 'melombong' mata wang bitcoin di empat premis berasingan itu mengakibatkan TNB mengalami kerugian sebanyak RM200,000.
"Semakan mendapati TNB mengalami kerugian RM50,000 sebulan bagi setiap premis terbabit yang dipercayai sudah beroperasi sejak dua bulan lalu," katanya dipetik Sinar Harian.
Curi Forex gold scam Harian Metro internet scam mymetro polis diraja malaysia