Najib: Denda RM10,000 SOP akan undang kemarahan rakyat

Ana Ghoib Syeikh Malaya 9:08 PTG
Bekas perdana menteri, Najib Razak khuatir keputusan kerajaan menaikkan kadar denda sehingga RM10,000 terhadap individu yang melanggar operasi standard prosedur (SOP) Covid-19 akan mengundang kemarahan rakyat.

Najib menulis di laman Facebook beliau mencadangkan supaya kadar denda dinaikkan secara progresif kerana SOP diperkenalkan kerajaan juga tidak konsisten.

Beliau yang turut melampirkan berita rasmi media mengenai kenaikan kadar denda tersebut bagaimanapun menyokong supaya hukuman yang lebih berat dikenakan terhadap mereka yang langgar SOP bergantung kepada tahap keseriusan perintah kawalan pergerakan (PKP).

oleh Najib Razak

Selepas dinaikkan ke RM10,000, denda ingkar PKP Malaysia menjadi antara paling tinggi dalam dunia.

Saya sokong hukuman yang lebih berat bagi mereka yang langgar SOP Covid namun bukan semua SOP PKP adalah sama serius dan tidak patut dipukul rata.

Misalnya tidak pakai/salah pakai mask, lupa scan MySejahtera, gagal mematuhi penjarakan fizikal atau keluar rumah tanpa alasan kukuh berbeza dengan ingkar kuarantin wajib, potong gelang kuarantin, rentas negeri tanpa kebenaran, gagal melapor diri sebagai kontak rapat kes positif atau berpesta ketum beramai-ramai di hotel/rumah sewa.

Bagi kesalahan yang kurang serius melibatkan bilangan rakyat paling ramai yang mungkin berpunca daripada kesilapan tidak sengaja, hukumannya perlu kepada pengajaran dan perlu dinaikkan secara progresif  - bukan untuk memufliskan rakyat.

Sebagai contoh bagi kesalahan kurang serious, dendanya boleh dinaikkan secara progresif.

Kesalahan pertama: RM1,000

Kesalahan kedua: RM3,000

Kesalahan ketiga: RM6,000

Kesalahan keempat dan seterusnya: RM10,000

Kaedah hukuman progresif ini diguna pakai oleh beberapa negara lain dan diterima rakyat di sana sebab tiada sesiapa akan bersimpati kepada pesalah degil yang berulang-kali melanggar SOP.

Tapi jika terus didenda RM10,000 bagi kesalahan pertama, ramai tidak akan berpuas hati.

SOP juga patut konsisten dan tidak boleh sering flip-flop sehingga pegawai penguatkuasa dan rakyat pening kepala.

Selepas denda dinaikkan, kemarahan rakyat tentu turut naik mencanak jika berlakunya lagi dwi-standard antara hukuman pada rakyat biasa dengan ahli politik.

Ianya menjadi lagi parah bagi wakil rakyat sebab sebarang denda yang melebihi RM3,000 akan menyebabkan kehilangan kelayakan sebagai wakil rakyat.