Mumia berlidah tangkal emas ditemui

Ana Ghoib Syeikh Malaya 6:04 PG
Mumia berusia kira-kira 2,000 tahun dengan lidah dari tangkal emas ditemui di Mesir. - Foto AFP

MESIR: Penyelidik arkeologi Mesir-Dominica yang menjalankan misi di Iskandariah, menemui mumia berusia sekitar 2,000 tahun dengan lidah ialah tangkal emas, kata pihak berkuasa Mesir semalam.

"Misi itu menjumpai 16 keranda yang dipecahkan menjadi batu terletak di kuil Taposiris Magna, di barat Iskandariah, utara Mesir," kata Kementerian Antikuiti dalam kenyataan.

Katanya, teknik pengebumian itu tersebar secara meluas pada zaman Greek dan Rom.

Beliau berkata, dalam beberapa keranda itu dijumpai beberapa mumia yang tidak dipulihara dengan baik tetapi terdapat emas pada lidah yang masih dalam keadaan baik.

Tangkal itu diletakkan di dalan mulut orang yang sudah meninggal dunia, kononnya membolehkan mereka bercakap selepas kematian.

Menurut ketua misi itu, Kathleen Martinez dalam kenyataan sama, dua daripada mumia itu sangat menarik perhatian kumpulan pengkaji berkenaan.

Katanya, satu daripada mumia itu memiliki mahkota yang dihiasi dengan tanduk dan ular tedung berserta kalung dengan loket dalam bentuk kepala burung helang.

"Ia melambangkan Tuhan Horus yang juga anak lelaki kepada Isis dan Osiris," katanya dalam kenyataan berkenaan.

Menurut Ketua Antikuiti Iskandariah, Khaled Abu al-Hamd, kumpulan penyelidik itu turut menjumpai topeng, mahkota dan lapan topeng marmar di kawasan perkuburan wanita.

Misi penyelidikan itu sudah dijalankan sejak beberapa tahun lalu bagi mengesan makam legenda, Permaisuri Ptolemaic Cleopatra walaupun terdapat keraguan dalam kalangan arkeologi mengenai kewujudannya di kawasan berkenaan. - AFP