Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Mohd Na'im Mokhtar, berkata, Mahkamah Syariah hanya boleh membicarakan kesalahan yang dilakukan warga asing beragama Islam sekiranya kesalahan itu dilakukan dalam negara ini.
"Seperti diketahui bidang kuasa Mahkamah Syariah hanya terbatas kepada individu beragama Islam. Bagaimanapun bidang kuasanya tidak melihat kepada kerakyatan warga negara individu yang dikenakan sesuatu dakwaan.
"Asalkan kesalahan itu dilakukan dalam negara ini maka seseorang individu warga asing yang beragama Islam tetap boleh dikenakan tindakan mengikut Enakmen Jenayah Syariah," katanya dalam sidang media selepas selesai prosiding pertama Mahkamah Utama Syariah (MUS) Negeri Perak di Mahkamah Syariah Negeri Perak, hari ini.
Turut hadir Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor.
Sebelum ini, media melaporkan satu klip video dikatakan dimuat naik melalui laman YouTube memaparkan seorang lelaki bukan Islam mengaku memurtadkan seorang wanita Islam sebelum mengahwininya.
Lelaki itu turut memberitahu, cara untuk lelaki bukan Islam mengahwini wanita Islam adalah dengan menukarkan agama mereka di negara lain seperti Indonesia, Singapura atau India terlebih dahulu.
Susulan itu lelaki berkenaan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 505(C) KK, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.
Mohd Na'im berkata, biarpun bukan beragama Islam, namun siasatan ke atas lelaki yang memurtadkan wanita itu dibuat atas dasar kesalahan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan seperti menghasut masyarakat.
Sementara itu, Mohd Na'im yang juga Ketua Hakim Syarie berkata, prosiding MUS yang dikelolakan hari ini disifatkan sangat bersejarah dengan mencapai keputusan penuh merit rayuan yang pertama sejak sidang pertamanya pada 16 Julai tahun lalu.
- myMetro