Polis turut merampas 52 keping kad daun pakau, wang tunai RM15,980. - Foto FMT
BUKIT MERTAJAM: Sembilan individu termasuk enam warga emas ditahan ketika sedang leka bermain judi secara terbuka dan mengingkari perintah kawalan pergerakan (PKP) di kawasan pusat perniagaan makanan Pasar Awam Kota Permai.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Shafee Abd Samad berkata dalam serbuan 2.30 petang itu, polis menahan empat lelaki termasuk seorang warga Bangladesh dan lima wanita yang kesemuanya berumur 50 hingga 68 tahun sedang leka bermain judi di meja makan medan selera tersebut.
“Serbuan itu hasil risikan dan intipan dijalankan polis. Mereka yang ditahan bermain judi jenis ‘siam bang lak’ iaitu daun pakau di meja makan hadapan sebuah gerai makanan yang tidak dibuka di situ,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Katanya, polis turut merampas 52 keping kad daun pakau dan wang tunai dipercayai untuk perjudian itu sebanyak RM15,980 di atas meja makan tersebut.
Beliau berkata kesemua mereka disiasat menurut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta turut dikompaun RM1,000 kerana ingkar arahan PKP. - Bernama