Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz membidas kerajaan yang dianggap lewat mengambil tindakan dalam membantu meredakan impak COVID-19.
Rafidah yang menjadi tetamu dalam program Perspektif di Astro AWANI, malam ini berkata, kerajaan sepatutnya sudah bekerjasama dengan pihak swasta dan NGO untuk melaksanakan kajian penilaian impak yang teliti sejak awal pandemik melanda."Bukan sahaja kesan ekonomi dan kesihatan, tetapi saya paling bimbang dengan kesan sosial. Sekolah ditutup, kini persekolahan secara dilakukan secara maya.
"Apa yang sudah dilakukan untuk membolehkan anak-anak kita terus bersekolah? Adakah sekolah dipersiapkan untuk menjalankan kelas secara fizikal? Adakah guru-guru sudah dipersiapkan dengan mindset untuk gunakan sekolah dengan cara baharu?
"Dan apabila sekolah dibuka nanti, bagaimana pula pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan?
"Dahulu, satu kelas ada 35 orang pelajar sebab boleh duduk dekat-dekat. Lepas ni, macam mana?
"Siapa yang buat kajian? Saya tak nampak kementerian berkaitan buat apa-apa, buat 'TikTok' adalah," katanya yang dipercayai menyindir seorang menteri.
Kajian penilaian impak, katanya perlu dibuat di peringkat akar umbi secara berkala pada waktunya untuk memungkinkan pengubahsuaian dibuat sesuai dengan keadaan.
Rafidah turut meluahkan rasa kesal kerana darurat yang dilaksanakan kini didawa lebih bermotif politik, namun menjadikan COVID-19 sebagai alasan.
Rafidah berkata, beliau secara peribadi akan menyokong jika ada gerakan untuk memohon penolakan pengisytiharan darurat di negara ini.
"Niat dah lari. Sepatutnya darurat bukan jalan keluar. Kita cuma perlu kawal perjalanan, tutup sempadan dan asingkan rakyat.
"Nak menangani COVID-19 tetapi buat darurat. Kita sebagai rakyat, malah orang luar sendiri pelik dengan darurat yang sedang berjalan ini.
"Rupanya ia cuma membabitkan sidang Parlimen dan perkara-perkara berkaitan politik. Jadi sudah lari dari landasan.
"Saya difahamkan sekarang ada satu gerakan untuk minta bubarkan balik darurat dan saya secara peribadi sokong gerakan itu sebab saya mahu kita kembali fokus kepada agenda utama, iaitu menangani COVID-19," katanya.
Tambah Rafidah, negara lain juga melaksanakan kawalan dan prosedur ketat untuk mengawal jangkitan COVID-19, malah ada yang melaksanakan darurat, namun sesi Parlimen tetap berlangsung.
"Yang berubah cuma cara mereka bersidang, mungkin secara maya dan sebagainya. Tetapi tetap ada persidangan dan Parlimen tidak sampai digantung.
"Tetapi di Malaysia lain pula kerana hal menangani COVID-19 dicampur aduk dengan politik.
"Harapnya selepas vaksin sampai nanti, tak ada lagi alasan untuk Parlimen disambung. Jangan nanti bagi pula alasan ada ahli Parlimen yang belum divaksin, tak boleh bersidang," ujarnya dipetik Astro AWANI..
Berita Harian Covid-19 Free Malaysia Today Malaysiakini BM Politik Rafidah Aziz Tan Sri Muhyiddin Yassin