Anwar membantah cadangan kenaikan kompaun SOP PKP Covid-19 - Foto Focus Malaysia |
Datuk Seri Anwar Ibrahim membantah cadangan kerajaan menaikkan kompaun terhadap individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19.
Ketua Pembangkang itu menyifatkan langkah tersebut sebagai berat sebelah apabila ada pemimpin kerajaan tidak dikenakan tindakan walaupun melanggar SOP.
"Saya fikir untuk pastikan penyeimbangan antara kesihatan, maknanya SOP harus ketat, bukanlah dengan hukuman yang lebih berat.
"Pemimpin-pemimpin melanggar (SOP) dia (kerajaan) tak kekang dan rakyat dihukum," katanya pada sesi perbincangan secara langsung di laman Facebooknya.
Perdana menteri, Muhyiddin Yassin hari ini berkata tindakan lebih tegas akan diambil terhadap mereka yang ingkar SOP Covid-19.
Kata Muhyiddin, kompaun yang lebih tinggi juga akan dikenakan kepada pesalah berulang atau yang sudah diberi amaran, selain tindakan penjara ke atas pesalah yang melanggar peraturan.
Sebelum ini Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali menerima kecaman apabila dikatakan melanggar sekatan perjalanan rentas negeri selepas menghadiri misi bantuan untuk mangsa banjir di Johor.
Azmin bagaimanapun berkata misi itu dilaksanakan selepas mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa juga dibidas selepas menyiarkan gambar dirinya bersenam di luar rumah bersama dua individu lain.
SOP bagi perintah kawalan pergerakan (PKP) hanya membenarkan maksimum dua orang untuk berjoging di luar rumah dalam satu-satu masa.
Minggu lalu, lapan penduduk kampung dari Tenom, Sabah masing-masing didenda sebanyak RM1,000 selepas menaiki bas untuk membeli makanan dan ubat-ubatan.
Pada masa ini, Seksyen 25 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 memperuntukkan denda maksimum sebanyak RM1,000.
Bagaimanapun Malaysiakini melaporkan, pindaan terbaru di bawah akta itu akan menyaksikan pesalah didenda maksimum RM1,000, atau penjara tidak lebih enam bulan, atau kedua-duanya sekali.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga presiden PKR berkata denda tinggi yang dikenakan kerajaan akan membebankan golongan miskin.
"Nak ugut orang ramai yang miskin dengan RM1,000, nak tambah RM1,500.
"Semua bawa bencana baru kepada rakyat," katanya.