Isa Samad dihukum penjara 6 tahun, denda RM15.45 juta

Ana Ghoib Syeikh Malaya 9:27 PTG
Isa Samad dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, selepas didapati bersalah atas tuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, tujuh tahun lalu.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara masing-masing enam tahun bagi sembilan pertuduhan dihadapi Mohd Isa, 72, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dalam semua sembilan pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

Bagaimanapun, hukuman penjara itu diarahkan berjalan serentak.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani tambahan hukuman penjara masing-masing dua tahun sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

BHOnline melaporkan, Isa Samad melalui imej pautan video dilihat tenang dan hanya mendiamkan diri di kandang tertuduh sebaik mahkamah membacakan keputusannya.

Hanya isteri dan anak lelaki beliau dibenarkan memasuki kamar mahkamah dan mengikuti prosiding itu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).\

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan Zaidel, iaitu Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB), menerusi bekas pegawai politik khas beliau, Muhammad Zahid Md Arip.

Zahid Md Arip bekas orang kuat PKR yang kini menjadi salah seorang pemimpin Bersatu dan dilantik menjadi senator selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) dijatuhkan Feb tahun lalu.

Mengikut butir perbicaraan, perbuatan tersebut sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur, antara 21 Julai 2014 dan 11 Dis 2015.

Pertuduhan menurut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.