Isa Samad bayar baki wang jaminan RM700,000

Ana Ghoib Syeikh Malaya 12:16 PG

 Tan Sri Mohd Isa Samad membayar wang jaminan di Mahkamah Tinggi, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. -  Foto NSTP/Hairul Anuar Rahim

Sehari selepas didapati bersalah atas sembilan tuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching oleh Mahkamah Tinggi, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad hadir sekali lagi ke mahkamah hari ini bagi membayar baki wang ikat jamin sebanyak RM700,000.

Portal BH Online melaporkan bekas Pengerusi FELDA itu hadir ditemani isteri, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid, selaku penjamin.

Isa Samad kemudian dilihat menuju ke kaunter Pendaftaran Jenayah Mahkamah Tinggi dan beredar meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sebaik selesai urusan jaminan pada jam 1.52 tengah hari.

Sementara itu, Mohd Isa turut memfailkan rayuan berhubung sabitan itu pada jam 11 pagi di Mahkamah Tinggi.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali, membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sehingga pelupusan rayuan kes dan menaikkan jumlah jaminan kepada RM1.5 juta daripada RM800,000.

Mahkamah memberi masa sehingga jam 2 petang hari ini untuk Mohd Isa membayar tambahan wang jamin RM700,000.

Beliau dijatuhi hukuman penjara masing-masing enam tahun bagi sembilan pertuduhan selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Dia didakwa atas sembilan pertuduhan menerima suapan untuk dirinya berjumlah RM3.09 juta daripada Ikhwan Zaidel iaitu Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) menerusi bekas pegawai politik khas beliau ketika itu, Muhammad Zahid Md Arip, sebagai tanda terima kasih kerana membantu meluluskan pembelian hotel oleh FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.