oleh Zaky Zainuddin
Boon Siew Honda memperkenalkan Skuter Kembara bandar atau Urban Explorer Scooter serba baharu, Honda ADV150 ke pasaran tempatan.
Ditawarkan dengan dua pilihan warna iaitu Vivacity Red dan Mat Charcoal Gray Metallic, Honda ADV150 serba baharu ini ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans dan pendaftaran yang disyorkan RM11,999.
Untuk skuter 'macho' yang ditunggu-tunggu seluruh peminat Honda di Malaysia, Boon Siew Honda turut menawarkan jaminan kilang selama dua tahun atau perbatuan 20,000 kilometer (yang mana tiba dulu).
Honda ADV150 dikuasakan oleh enjin eSP 150 cc penyejuk cecair digabungkan dengan sistem pembakaran PGM-FI berserta pematuhan EURO4.
Menerusi penawaran model serba baharu ini, Honda menawarkan reka bentuk kukuh dan canggih dengan prestasi pengendalian jitu.
Ia juga tampil dengan aspek kembara aktif dan kukuh dengan output yang hebat, sesuai untuk tunggangan harian atau jarak jauh.
Tidak terhenti di situ, Honda ADV 150 juga dilengkapi dengan peralatan menarik yang memperkemaskan curu mesra pengguna, selesa dan selamat.
Ia turut hadir dengan semua lampu LED (lampu dengan nyalaan siang) dan meter LCD.
Apa yang menarik juga, Honda ADV 150 lengkap dengan Sistem Brek Anti-kunci dan Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS).
Antara ciri menarik lain adalah Sistem Honda SMART Key serta Pelarasan Cermin Depan Dua-Tahap.
Dari aspek lain pula, Honda ADV 150 tampil dengan suspensi, tayar dan kedudukan tunggangan yang mampu dikendalikan dengan mudah di jalan luar bandar dan sudah pasti senang dikendalikan ketika tunggangan di kawasan bandar.
Honda ADV150 sememangnya 'rugged' dan diperkemas dengan reka bentuk 'adventure.
Model ini memiliki semua aspek fungsi skuter kompak ringan, selain mempromosikan gaya hidup bebas dan santai, yang membolehkan penunggang untuk perjalanan harian dan sebaliknya.
Dari segi ketinggian pula, Honda ADV 150 memiliki jarak tanah 165 milimeter (mm), sekali gus membolehkan skuter ini menjadi lebih versatil serta mudah dikendalikan dalam pelbagai keadaan.
Dari aspek tunggangan pula, Honda ADV 150 dilengkapi dengan suspensi rekaan Showa 130mm dan cakera brek bergelombang 240mm di bahagian depan dan 220mm (belakang) yang tidak hanya menawarkan kestabilan ketika membrek malah mengetengahkan gaya lebih sporty.
Lebih menarik, di bahagian belakang, Honda ADV 150 lengkap dengan suspensi berkembar 'subtank' Showa 120mm yang memberikan keselesaan optimum dan stabil apabila mengambil selekoh dan jalan berbonggol.
Menyentuh mengenai ESS, sistem ini akan aktif secara automatik apabila penunggang membrek mengejut dan memberi amaran kepada kenderaan sekitar.
Model ini dilengkapi dengan Idling Stop System (ISS) yang dibangunkan untuk meningkatkan kecekapan bahan api.
Bahagian penyimpanan barang di bawah tempat duduk pula memiliki kapasiti 27.8 liter yang mana boleh memuatkan barangan keperluan penunggang.
Bagi meningkatkan lagi kemudahan penunggang, ia turut hadir dengan kuasa pengecas pada bahagian depan kotak konsol.
Honda ADV 150 akan berada di semua rangkaian pengedar sah Honda tidak lama lagi. - BH Online
Honda honda malaysia Kereta Motorcycle motortrader Paultan technology news