Hina mahkamah, Malaysiakini didenda RM500 ribu

Ana Ghoib Syeikh Malaya 11:55 PTG
Portal berita Malaysiakini didenda RM500,000 kerana kesalahan menghina mahkamah menerusi komen pembacanya. Gambar pemilik Mkini Premesh Chandran dan Steven Gan oleh Malaysiakini

PUTRAJAYA: Mkini Dotcom Sdn Bhd, yang mengendalikan portal Malaysiakini, didenda RM500,000 selepas didapati bersalah menghina mahkamah dengan menerbitkan komen warganet tahun lalu.

Denda yang dijatuhkan oleh Mahkamah Persekutuan itu jauh melebihi denda RM200,000 yang dicadangkan oleh peguam persekutuan kanan Suzana Atan.

Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusof, yang mengetuai panel enam hakim, berkata, Mahkamah Persekutuan mengambil kira bahawa pengurusan Mkini telah bekerjasama dengan polis dan memohon maaf kepada pihak berkenaan.

Bagaimanapun beliau berkata, adalah tanggungjawab mahkamah untuk turut mengambil kira keseriusan kesalahan yang dilakukan.

“Komen yang disiarkan menarik perhatian meluas di dalam negara dan secara global. Dakwaan berlaku rasuah dalam badan kehakiman adalah palsu, Justeru denda RM500,000 adalah berpatutan." katanya.

Syarikat berkenaan diberikan tempoh sehingga Rabu depan untuk membayar denda itu.

Peguam Negara Idrus Harun memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Malaysiakini dan ketua pengarangnya Steven Gan pada 16 Jun.

Komen terbabit muncul dalam sebuah artikel bertarikh 9 Jun 2020 dengan tajuk “CJ orders all courts to be fully operational from July 1”.

Rohana yang membacakan keputusan majoriti berkata, Malaysiakini tidak boleh mendakwa sistem tapisannya gagal mengeluarkan komen ofensif itu kerana ia pada hakikatnya hanya memilih untuk menapis bahasa yang menyinggung perasaan,

Beliau berkata, tiga kawalan yang diguna pakai oleh Malaysiakini gagal dan tidak berjaya mengawal atau menghalang secara berkesan komen ofensif daripada diterbitkan.

“Hal keadaan berkait kes ini menunjukkan komen yang dipersoalkan diterbitkan tanpa sekatan dan hanya dikeluarkan selepas diberitahu oleh polis,” katanya.

Beliau berkata, keputusan majoriti tidak boleh menerima kegagalan langkah tapisan sebagai pembelaan penuh dan Malaysiakini tidak boleh secara tidak wajar dan tidak bertanggungjawab memindahkan kesemua kesalahan itu kepada pelanggan atas talian pihak ketiga, sekali gus membebaskan diri daripada semua liabiliti.

“Ringkasnya, seperti disebut dalam permohonan peguam negara, Malaysiakini memudah cara penerbitan komen berunsur fitnah oleh pelanggan pihak ketiga,” katanya.

Rohana berkata, tiada seorang pun daripada 10 editor Malaysiakini tampil untuk menafikan pengetahuan dan menjelaskan bagaimana mereka terlepas pandang komen buruk tersebut.

Katanya, Malaysiakini setidak-tidaknya harus memastikan khalayak didedahkan kepada perbincangan seimbang mengenai isu berkepentingan awam dan tidak mengambil bahagian menghina dan memperlekeh badan kehakiman untuk menghakis kepercayaan awam.

Beliau berkata, hujah pembelaan portal berkenaan bahawa kod kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia melindunginya daripada liabiliti berpunca daripada salah tafsiran terhadap kod berkenaan.

Keputusan majoriti menyebut, ia melepaskan Steven Gan daripada keputusan menghina mahkamah kerana tiada fakta atau keterangan yang diperolehi menunjukkan beliau memudah cara penerbitan komen terbabit.

Sementara itu, Gan dilapor medianya sendiri Malaysiakini hari ini berkata, bahawa beliau terkejut dengan jumlah denda yang dikenakan, sedangkan wakil peguam negara hanya mencadangkan RM200,000.

“Ia tamparan hebat terhadap kami. Bagaimanapun, sama seperti sebelum ini, kami berharap para penyokong akan tampil membantu,

"Saya sangat kecewa. Jenayah apa yang dilakukan oleh Malaysiakini sehingga kami terpaksa membayar RM500,000 apabila ada individu yang dituduh menyalahgunakan kuasa untuk berjuta-juta dan berbilion-bilion ringgit masih bebas" katanya seperti dilapor Malaysiakini.