Seorang pemancing menggunakan umpan ikan keli untuk naikkan tapah 68kg di Sungai Ban Kenal, Tanjong Karang. - Foto ihsan pembaca
Tanjong Karang: "Hampir sejam saya berusaha mendaratkan ikan tapah itu yang saya anggap hadiah hari lahir. Ini spesies sama pernah saya daratkan empat tahun lalu," kata nelayan, Sazali Mohd Amin, 59.
Portal BH Online melaporkan bapa kepada lima anak itu berkata, dia bertuah menaikkan ikan tapah seberat 68 kilogram dengan menggunakan joran buluh di Sungai Ban Kenal, semalam.
Sazali menggunakan umpan ikan keli untuk menangkap ikan berkenaan.
"Saya memacak joran di tebing sungai yang berhampiran rumah pada jam 7 malam kelmarin dan memeriksanya semula pada 7 pagi semalam.
"Apa yang menghairankan, joran berkenaan beralih ke tengah sungai. Jadi, saya mengayuh sampan untuk mengambilnya sebelum sampan ditarik sejauh kira-kira 200 meter," katanya ketika ditemui di Kampung Parit Dua, hari ini.
Sazali berkata, dia kemudian mengambil tali untuk mengikat joran dan kembali ke tebing sungai. "Berbekalkan kudrat sedia ada, saya menarik joran itu selama sejam dan terkejut apabila mendapati ia seekor tapah gergasi.
"Selepas mendaratkan ikan itu, saya segera mengangkatnya ke sampan dan memanggil seorang anak lelaki untuk membantu," katanya.
Empat tahun lalu Sazali pernah mendaratkan ikan sama seberat hampir 100kg di sungai itu.
Ikan tapah itu dijual dengan harga RM1,000 kepada pihak pengurusan Majlis Kampung Parit Dua.
"Saya menjualnya dengan harga lebih murah berbanding pasaran kerana ikan itu akan dijamu kepada penduduk," katanya.
KLIK BACA: Nazir Razak kesal Tommy dakwa pemuda melayu bawa parang keris punca 13 Mei