Ketua pembangkang, Anwar Ibrahim menyerahkan 1,000 tablet bagi membantu pelajar dalam keluarga berpendapatan rendah (B40).
Anwar berkata, pemberian itu bukti kegagalan kerajaan memastikan pelajar yang tidak bernasib baik dapat mengikut kelas pembelajaran dalam talian semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.
"Saya sediakan 1,000 tablet untuk pelajar-khusunya khususnya B40. Ini untuk membantu meringankan beban mereka dan memastikan online education ini berjalan.
"Ini juga melambangkan kelemahan kementerian," katanya kepada wartawan di Port Dickson hari ini.
Ahli Parlimen Port Dickson itu menyerahkan tablet berkenaan kepada keluarga yang memenuhi syarat melalui majlis secara 'pandu lalu'.
"Kalau keadaan ini tidak ditangani segera oleh kerajaan, khususnya kementerian pendidikan, saya jangka akan terus melemahkan mutu pendidikan terutama di kalangan pelajar miskin bandar dan desa.
"Ini akan menjadi satu masalah besar yang dihadapi oleh negara, kerana untuk setahun lebih ini, pembelajaran anak-anak sangat terbatas dan kurang upaya dari pihak kerajaan menanganinya," katanya.
Anwar membantu pelajar dari keluarga berpendapatan rendah susulan penutupan sekolah akibat PKP dan proses pembelajaran terpaksa dilakukan secara dalam talian.
Sementara itu, Anwar juga mengkritik program Cerdik oleh kerajaan yang hanya meminjamkan 150,000 komputer riba kepada pelajar yang memerlukan.
"Kita dengar di sidang parlimen dulu iaitu disediakan peruntukan. Bila kita bising-bising kementerian kata 'ya akan disediakan' secara pinjaman," katanya.
Anwar Ibrahim Berita Harian Free Malaysia Today Google News Tag