Orang kuat memerangi Covid-19 Dr Noor Hisham Ketua Pengarah KKM - Foto The Star |
Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, Noor Hisham tidak wajar mengeluarkan kenyataan bahawa PKP di seluruh negara, (kecuali Sarawak ) yang dijadual berakhir 4 Februari ini, tidak akan dilanjutkan.
Semalam Noor Hisham dilaporkan berkata, selepas PKP berakhir dakan diganti dengan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).
“Kenapa Ketua Pengarah Kesihatan tiba-tiba buat kenyataan sedemikian, ia masih awal sedangkan perkara ini hanya boleh diputuskan oleh Kabinet. Sepatutnya belum ada lagi pengumuman seperti ini yang boleh mengelirukan orang ramai,” kata Kamarul Zaman.
Kamarul mendakwa kenyataan Noor Hisham itu seolah-olah mendahului keputusan jemaah Menteri.
“Sepatutnya keputusan kena kolektif, bukannya keputusan berseorangan. Bukan kerja dia buat pengumuman seperti itu. Sebab kalau lihat, keadaan Covid-19 di negara masih serius.
“Lainlah jika boleh dipastikan bahawa kes Covid-19 di dalam negara sudah berkurangan pada 4 Februari depan. Kita ketika ini juga tidak tahu keadaan bagaimana situasi kes Covid-19 pada minggu hadapan,
“Nyawa rakyat perlu lebih diutamakan. Jadi, belum berbangkit juga isu bila PKP tidak diteruskan, maka proklamasi darurat juga perlu ditamatkan. Memandangkan Jawatankuasa Khas Bebas juga masih belum bermesyuarat lagi,” katanya.
Noor Hisham dilapor menegaskan kepentingan ekonomi dan kesihatan perlu di seimbangkan dan keputusan tidak melanjut PKP diambil bagi mengelak kesan negatif keatas ekonomi negara, kerana kepentingan ekonomi dan kesihatan perlu seimbang.
Sehingga 26 Januari, Noor Hisham melaporkan masih ada 40,574 kes aktif dengan 111 daripada 280 pesakit di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan. Manakala, 3,585 kes baru Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu.
Serta, 11 kematian dicatatkan, menjadikan jumlah keseluruhan kematian adalah 700 orang daripada 190,434 kes Covid-19 setakat ini.
Portal FMT pula melaporkan penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) Lee Kuok Tiung berpendapat keputusan untuk menamatkan (PKP)2.0 pada 4 Februari ini bukan satu keputusan paling tepat.
“Ia keputusan sukar buat Noor Hisham, untuk mengekang penularan Covid-19, sebenarnya perlu teruskan darurat. Daripada sekarang ini dilaksanakan separuh-separuh, dilema paling besar adalah ekonomi rakyat.
“Saya dengar itu yang menyebabkan Noor Hisham keluarkan kenyataan itu, sebab dia kena “sandwich” di tengah-tengah. Minta maaflah, saya secara peribadi katakan, PKPB tidak efektif, masih banyak kelonggaran,” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun menurut Lee pelaksanaan PKPB masih menyebabkan masyarakat bergerak ke sana dan ke sini. Baginya, adalah lebih baik sekiranya “total lockdown” dilaksanakan untuk suatu tempoh waktu yang ditetapkan.