Kakak selamatkan seluar adik, ditemui mati lemas dalam lombong

Ana Ghoib Syeikh Malaya 6:18 PTG

KUANTAN - Tindakan seorang kakak mahu mengambil seluar adiknya yang tertanggal di dalam kolam akhirnya meragut nyawanya.

Salsabila Zuhairi, 12,  ditemui mati lemas di kolam takungan bekas lombong bauksit bersama adik mereka Mahathir Mohamad, 7, dan rakan mereka Nureen Ain Juwita Mohd Sharif, 10.

Mohamad Aiman Hakimi Zuhairi, 10, berkata,  kakaknya mahu menolong mengambil seluarnya yang tertanggal dalam kolam.

"Saya tak sangka tindakannya menyebabkannya bersama adik lelaki saya dan seorang kawan kami lemas dalam kolam itu," katanya ketika ditemui pemberita di Bilik Mayat Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Mohamad Aiman berkata,  pada mulanya mereka berempat pergi ke kawasan bekas lombong itu untuk bermain di situ dan tiba-tiba ada barangnya terjatuh ke dalam takungan berkenaan.

Katanya,  dia masuk ke dalam kolam tersebut untuk ambil barang tersebut sebelum terjatuh ke dalam kolam namun berjaya selamatkan diri.

"Selepas saya keluar dari kolam itu, kakak saya cuba nak ambilkan seluar saya yang tertanggal dalam kolam sebelum terjatuh ke dalam kolam dan lemas, "katanya.

Mohamad Aiman berkata, selepas Salsabila lemas, adik lelakinya dan rakan mereka Nureen Ain Juwita cuba membantu untuk menyelamatkan kakaknya namun gagal sehingga mereka bertiga mati lemas.

"Saya tidak sempat buat apa-apa dan mereka bertiga sudah mati lemas.

"Ini kali pertama saya ikut mereka bertiga bermain di situ," katanya.

Sementara itu, kesedihan pastinya menyelubungi keluarga Nureen Ain Juwita Mohd. Sharif , 10, memandangkan dia satu-satunya anak perempuan daripada enam beradik.

Bapanya, Mohd Sharif Awang Ngah, 50, berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan jiran mengenai kejadian yang menimpa anak perempuan tunggalnya itu.

Katanya, sebelum kejadian,  anak bongsunya itu  pergi ke rumah datuknya yang merupakan bapa mentua kepada Mohd Sharif di Taman PSJ kira-kira lima kilometer dari rumah mereka di Kampung Sungai Karang.

"Dia pergi ke rumah datuknya dihantar oleh abangya menaiki motosikal," katanya.

Mohd Sharif yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu berkata, dia mengetahui kejadian menimpa anaknya itu daripada penduduk kampung di situ sekitar 6.30 petang ketika sedang memasang siling di rumahnya.

"Saya reda dengan kejadian yang menimpa anak saya," katanya.

Jenazah dua beradik berkenaan akan dikebumikan di Kampung Sungai Kerang,  Terong,  di Taiping,  Perak manakala Nuree Ain akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Karang. - Sinar Harian