Pemandu van cabul murid 12 tahun dipenjara 18 bulan dan dua sebatan

Ana Ghoib Syeikh Malaya 3:40 PG


Seorang bekas pemandu van sekolah dijatuhi hukuman penjara 18 bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, Khamis bagi kesalahan mencabul kehormatan seorang murid perempuan.

Tertuduh S. Sabapathi, 44, didapati bersalah terhadap pertuduhan mencabul murid berumur 12 tahun itu di dalam van sekolah di hadapan sebuah sekolah di sini pada 6.45 pagi, 26 Julai 2010.

Majistret Atiqah Abd Karim@Husaini membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula Khamis.

Tertuduh yang kini bekerja sebagai pengawal keselamatan didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonan peguam Datin Raj Preet Kaur yang mewakili tertuduh untuk penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menaikkan jaminan tertuduh daripada RM3,000 kepada RM10,000 berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di Ibu Pejabat Balai Polis Petaling Jaya dua kali sebulan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat berbentuk pemenjaraan yang maksimum dan sebat dengan mengambil kira kesalahan yang dilakukan merupakan jenayah seksual.

"Mangsa mengalami trauma hebat selepas kejadian itu, sebelum ini mangsa bersifat kewanitaan namun mangsa telah berubah dengan cara memotong pendek rambutnya menyerupai seorang lelaki setelah dicabul tertuduh," katanya.

Raj Preet memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya menanggung tiga orang anak yang masih belajar.

Sebanyak lima saksi pihak pendakwaan dan seorang saksi pihak pembelaan iaitu tertuduh memberi keterangan pada perbicaraan kes itu. - Bernama