Suspek Isis rancang letupkan pusat hiburan KL, kata sumber polis

Ana Ghoib Syeikh Malaya 6:27 PG

Polis meningkatkan tahap keselamatan di kawasan awam susulan serangan di Jakarta, dan memberkas seorang suspek militan yang menurut sumber mahu meletupkan pusat hiburan di Kuala Lumpur. – Gambar Reuters

Lelaki tempatan yang ditangkap di sebuah stesen kereta api hari ini mengembara 451km dari Terengganu ke Kuala Lumpur selepas menerima arahan menjalankan serangan di tempat padat penduduk di ibu kota, kata sumber lapor The Malaysian Insider.

Polis menangkap seorang lelaki di Stesen LRT Jelatek, Ampang semalam kerana disyaki terlibat dengan rangkaian pengganas Negara Islam Iraq dan Syria (Isis).

Difahamkan lelaki berkenaan, seorang bekas ejen insurans berusia 27 tahun, menerima "arahan" Isis menjalankan serangan mensasarkan pusat hiburan di kawasan awam.

Bahagian anti-keganasan polis bagaimanapun berjaya menangkap suspek sebelum dia meneruskan rancangannya pada 10 malam ini.

Pihak berkuasa merampas pisau serta lain-lain dokumen yang berkaitan Isis daripadanya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan penangkapan suspek disyaki militan Isis di Twitter, dan mengucapkan tahniah kepada unit Cawangan Khas yang mengendalikan operasi.
[ads-post]
Polis 2 hari lepas meningkatkan tahap keselamatan kepada paling tinggi berikutan serangan pengganas di Jakarta.

Khalid mengumumkan Malaysia kini berada pada "amaran tahap tertinggi", kerana penganalisis keganasan berkata kumpulan militan Isis kini meluaskan operasinya dari Timur Tengah ke Eropah dan Asia.

Katanya, selepas serangan Jakarta, langkah keselamatan di tempat awam seperti pusat membeli-belah dan pusat pelancongan dipertingkat.

Malah pengawasan juga dilaksanakan di kawasan sempadan menghalang penyusupan pengganas.

Dua hari lalu, letupan di Jakarta membunuh sekurang-kurangnya 7 orang.

Laporan media mengatakan Isis, mengakui bertanggungjawab atas serangan tersebut.