BETONG: Seorang mati dan seorang lagi cedera di belakang badan dan kepalanya dalam insiden kebocoran gas pengimpal di sebuah tongkang di muara Sungai Batang Saribas, dekat sini Jumaat malam.
Mangsa Su Wei Shang, yang juga warga China, meninggal dunia dipercayai akibat terhidu gas itu manakala pekerja yang cedera dikenali sebagai Fuad Sidek Irmawan yang berasal dari Indonesia.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Pusa berkata kedua-dua mangsa sudah dibawa naik ke atas dek tongkang oleh pekerja lain menggunakan tali sebaik bomba tiba di lokasi.
Menurutnya kedua-kedua mangsa yang berada dalam tongkang itu dikatakan tiba-tiba pitam dipercayai terhidu gas beracun kerana semasa kejadian kerja mengimpal sedang dilakukan di atas dek tongkang berkenaan.
Jurucakap itu berkata mangsa yang cedera dirawat di Klinik Kesihatan Pusa sebelum dihantar ke Hospital Betong untuk rawatan susulan. -Bernama