Bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini menjelaskan, kehadirannya ke Persidangan Perubahan Iklim di Perancis tahun lalu dibiayai oleh wang NGO yang dipengerusikan oleh isterinya.
Beliau yang merupakan perdana menteri kelima itu berkata, isterinya Tun Jeanne Abdullah merupakan pengerusi bagi NGO Landskap Malaysia.
"Isteri saya menjadi ahli kepada itu semua (di Persidangan Perubahan Iklim).
"(Ia) dibiayai oleh persatuan (NGO) kami. Kita ada duit kami sendiri dan sudah tentu dengan sedikit bantuan.
"Kita ada persatuan dan kita pergi (persidangan itu) juga sebab kita ada peranan," kata Abdullah ringkas sambil tersenyum.
Selain Landskap Malaysia, Jeanne turut menjadi pengerusi kepada NGO lain antaranya Sekretariat Malaysia Prihatin, Humanitarian Fund For The Children Of Gaza dan Tropical Rainforest Conservation and Research Centre Bhd (TRCRC).
Sebelum ini terdapat pihak yang mempersoalkan kehadiran Abdullah bersama 39 deligasinya ke Perancis pada 30 November hingga 11 Disember 2015.
Pihak tersebut mempersoalkan tentang apakah peranan Abdullah yang merupakan bekas perdana menteri ke persidangan tersebut dan juga siapakah yang membiayai perjalanan mereka sepanjang persidangan itu. - Mkini