Ibu sedih anak hidap HIV mohon bantuan perubatan

Ana Ghoib Syeikh Malaya 5:39 PTG


Adik Nur berusia 4 tahun mangsa HIV dipangku ibunya yang terpaksa belanja RM1,200 sebulan untuk beli ubat-ubatan dan keperluan Nur. - Foto Sinar Harian

HULU TERENGGANU - Tatkala kanak-kanak seusianya meniti tumbesaran dengan penuh keceriaan, namun berlainan kisah kehidupan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang dikenali sebagai Nur menderita kerana terpaksa hidup dengan HIV positif sejak lahir.

Malah, virus maut itu kini sudah merebak keseluruhan badannya kecuali otak sehingga menyebabkan tahap kesihatannya kian merosot.

Kini berat badan Nur cuma lapan kilogram sahaja dan dia hanya mampu menangis menanggung kesakitan yang tidak pernah dimintanya.

Berkongsi kisah, ibu Nur yang dikenal sebagai Ros berkata, hanya air mata menemaninya setiap kali melihat permata hatinya itu derita kesakitan.

Kata Ros, anaknya itu mengalami pelbagai jenis penyakit terutama di bahagian usus sehingga menyebabkan keluar darah ketika buang air besar.

“Saya sendiri tidak pernah minta semua ini namun apakan daya ini takdir kami dua beranak. Saya memperoleh virus HIV ini daripada suami (kini bekas) yang juga seorang penagih dadah sebelum berpindah kepada Nur ketika dalam kandungan.

“Ketika tahu anak saya lahir dengan HIV positif.. ia benar-benar meruntun jiwa saya sebagai seorang ibu. Walaupun saya sendiri punyai virus sama tetapi hati saya lebih sakit lihat derita terpaksa dilalui anak saya berbanding kesakitan saya alami,”
katanya.

Belanja RM1,200 sebulan

Kata Ros, hari-hari dilaluinya tidak seperti kanak-kanak lain, malah beratnya yang sebelum ini lebih kurang 16 kilogram dan dengan pelbagai penyakit yang ditanggung anaknya itu hanya mampu menangis kerana menanggung kesakitan.

“Tahap imun sistem badannya makin turun dan hampir setiap bulan Nur dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu bagi menerima rawatan.

"Selain itu, dia perlu bergantung kepada sembilan jenis ubat setiap hari,” katanya.

Tambah Ros, setiap bulan juga dia perlu membelanjakan lebih RM1,200 bagi membeli ubat tambahan, lampin pakai buang dan susu untuk anaknya itu dan kerana itu juga dia terpaksa tebalkan muka meminjam wang dengan saudara-mara serta rakan.

“Saya cuma lakukan kerja kampung, pendapatan tidak tentu. Malah, kerana Nur jugalah, kami terpaksa berpindah ke daerah ini kerana jarak perjalanan untuk mendapatkan perubatan Nur di HSNZ lebih dekat. Sebelum ini, saya tinggal di Kemaman.

“Kami dua beranak kini menumpang di rumah ibu saudara di sini dan keperluan anak saya menjadi perkara utama bagi saya.. dia masih kecil untuk tanggung semua derita ini," katanya.

Menurutnya, dia juga sudah berpisah dengan suami sejak lelaki itu ditangkap pihak berkuasa tiga tahun lalu dan berharap agar ada pihak sudi bantu terutamanya dalam menyediakan keperluan Nur kerana dia tidak mempunyai sumber kewangan yang cukup.

Katanya lagi, sebagai wanita yang hidup dengan virus HIV diperoleh daripada bekas suami dia menasihatkan wanita lain agar menjadikan kisahnya sebagai pengajaran.

Nasihat Ros, jika cintakan seseorang selidiklah dahulu latar belakangnya.

“Mungkin saya sudah terjerat, namun saya harap agar tidak ada lagi wanita lain melalui keadaan sama seperti saya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Zura menerusi talian 019-7450398. - Sinar Harian