Gambar hiasan senjata kes bunuh terbaru
JOHOR BAHRU - Dua sahabat terlepas daripada hukuman penjara 30 tahun setelah Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan mereka atas pertuduhan membunuh tanpa niat seorang rakan mereka, di sini, Januari tahun lalu.
Hakim Noraini Ismail menetapkan keputusan itu ke atas R. Jesus, 22, dan R. Mahenthiren, 21, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua mereka.
Pada 18 Jan 2014, kedua-dua mereka bersama tiga individu lain yang masih bebas, didakwa memukul seorang rakan mereka, M. Sugu, 20, di Jalan Datuk Yunus, Taman Perindustrian Datuk Yunus Sulaiman pada jam 2.50 pagi.
Akibat kejadian itu, mangsa telah beberapa kali mendapatkan rawatan di klinik dan hospital berdekatan rumahnya, sebelum dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) kerana didapati tangan mangsa menggigil dan mengalami sesak nafas empat hari kemudian.
Pada 24 Januari mangsa dilaporkan kritikal dan ahli keluarganya membuat laporan berhubung insiden itu di Balai Polis Sentral.
Dua hari kemudian mangsa meninggal dunia di HSA dengan keputusan bedah siasat menunjukkan punca kematian adalah disebabkan jangkitan kuman di kepala.
Dalam hujah pembelaan, dua peguam yang mewakili kedua-dua tertuduh iaitu A. Vimala dan Chuah Shyue Chien berkata pihak pendakwaan gagal menunjukkan kematian mangsa disebabkan perbuatan kedua-dua anak guam mereka, selain terdapat
percanggahan dalam maklumat lokasi kejadian.
Kes yang dibicarakan di bawah Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan itu, telah menjalani tempoh perbicaraan selama setahun dengan 25 saksi termasuk ahli keluarga, doktor dan pakar kimia dipanggil bagi memberi keterangan. - Bernama