KOTA KINABALU: Kumpulan lelaki bersenjata yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Abu Sayyaf menyerbu sebuah restoran popular di tepi pantai berhampiran Sandakan dan menculik pengurus serta seorang pelanggan pada Khamis malam. Pemilik Restoran Ocean King,
Chung Yung Tim berkata, pengurus restoran tersebut ialah adik iparnya, Thien Nyuk Fun, 50 dan pelanggan restoran, Bernard Ghen Ted Fen berusia 36 tahun. Dalam kejadian pukul 8 malam itu, katanya, empat lelaki berpakaian celoreng dengan dua daripada mereka bersenjata api tiba-tiba masuk ke restoran dengan menaiki tangga di tepi restoran itu.
Melihat kehadiran kumpulan itu, beliau bersama-sama pekerja dan beberapa pelanggan berjaya melarikan diri, katanya ketika ditemui di luar restoran itu. Chung berkata selepas kumpulan lelaki itu beredar, beliau mendapati adik iparnya dan seorang pelanggan yang berada bersamanya sebelum itu dilarikan oleh kumpulan itu.
Restoran itu antara yang terkenal dengan makanan laut di bandar Sandakan dan terletak di Pasir Putih di Jalan Bokara. Bangunan restoran terletak di atas air dan hanya terletak kira-kira tiga kilometer dari bandar Sandakan. Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Abdul Rashid Harun berkata, operasi besar-besaran sedang dijalankan bagi memburu kumpulan itu.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman ketika dihubungi melalui Whatsapp berkata pihaknya masih menunggu laporan berkenaan kejadian itu. - mStar