Taufik Batisah Rahsia Nama Bakal Isteri

Ana Ghoib Syeikh Malaya 7:49 PG
SINGAPURA – Ketika media massa di Malaysia ‘terkesima’ dengan laporan eksklusif MYNEWSHUB pada Sabtu lalu mengenai berita perkahwinan penyanyi Singapura, Taufik Batisah, ramai peminatnya masih enggan mempercayai cerita itu.

Malah program hiburan sensasi Melodi terbitan TV3 pada Ahad juga cuba ‘memperlecehkan’ laporan MYNEWSHUB menerusi rakaman temubual awal dengan artis berusia 33 tahun itu kononnya beliau belum ada lagi hasrat berkahwin bulan depan.

Ada marah dengan laporan MYNEWSHUB itu kononnya berita Taufik bernikah dengan gadis pilihan dirinya sendiri yang juga warganegara Singapura adalah palsu atau jenaka ‘April Fool’ kerana kebetulan berlaku pada awal bulan tersebut.

Namun atas dasar integriti, MYNEWSHUB sekali lagi meninjau isu perkahwinan Taufik menerusi pelbagai sumber berita antarabangsa dan terbukti, hanya media Singapura dan MYNEWSHUB di Malaysia sahaja yang menyiarkan laporan itu.Ribuan peminatnya mendoakan kesejahteraan bekas graduan kejuruteraan Singapore Polytechnic itu dan tidak kurang juga, cemburu dengan gadis tersebut kerana dianggap bertuah dapat bersuamikan lelaki kacak dan berbudi bahasa.

Taufik khabarnya terkejut dengan pengumuman agensi rakaman beliau, Hype Records, yang kemudian dipetik MediaCorp dan MYNEWSHUB mengenai berita pengedaran kad jemputan perkahwinan beliau kepada semua tetamu bermula minggu depan.

Bagaimanapun atas permintaan beliau, Hype Records enggan mendedahkan nama bakal isteri Taufik malah penyanyi kacukan Bugis dan India tempatan itu turut merahsiakan butiran gadis tersebut sebagai menghormati bakal keluarga mertuanya.