Perompak Mati Ditembak

Ana Ghoib Syeikh Malaya 11:06 PG
KUALA LUMPUR - Seorang anggota kumpulan perompak bersenjatakan parang mati ditembak pengawal keselamatan dalam rompakan di sebuah premis pengurup wang di sebuah pasaraya di Maluri, Cheras di sini hari ini.  
 
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata dalam insiden kira-kira 11 pagi itu, kumpulan empat suspek yang memakai topi keledar 'bercermin penuh' itu terlebih dahulu melanggar premis berkenaan dengan kereta dinaiki mereka secara berundur beberapa kali.
 
Ini mengakibatkan struktur premis itu, terletak di luar pasaraya tersebut pecah.
 
Menurut Zainuddin, seorang daripada suspek menggertak seorang pekerja di situ dengan parang supaya menyerahkan wang.
 
"Namun, seorang pengawal keselamatan yang bertugas di premis lain yang kebetulan berada di situ, bertindak melepaskan tiga das tembakan, satu daripadanya terkena dada suspek menyebabkan dia mati di tempat kejadian," katanya kepada pemberita di lokasi itu.
 
Mayat dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat.
 
Menurut Zainuddin, tiga suspek lain bagaimanapun sempat melarikan sejumlah wang, dua daripada mereka dengan motosikal dan seorang lagi berlari meninggalkan tempat kejadian.
 
Usaha memburu mereka sedang dilakukan. Kesemua anggota kumpulan itu berusia dalam lingkungan 30an.
 
Beliau berkata, siasatan awal mendapati si mati mempunyai rekod jenayah curi kenderaan, dan kereta yang digunakan dalam rompakan itu dilaporkan hilang di Jinjang tahun lepas.
 
Turut ditemui di lokasi kejadian ialah dua bilah parang.

Zainuddin berkata, polis percaya kumpulan sama telah merompak kedai pengurup wang itu tahun lepas berdasarkan modus operandi mereka.
     
Dalam perkembangan lain, Ketua Angkatan Muda Keadilan Nik Nazmi Nik Ahmad direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan di ibu negara Sabtu lepas.
 
Zainuddin, yang mengesahkan penahanan itu, berkata polis akan memanggil beberapa individu lain untuk diambil keterangan dalam tempoh terdekat.
 
Semalam, Nik Nazmi ditahan selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada kira-kira 10 pagi.  - Bernama