Malaysia Gagal Tersenarai Dalam Universiti Terunggul Dunia

Ana Ghoib Syeikh Malaya 9:12 PTG
Universiti Malaysia sekali lagi gagal tersenarai dalam carta dunia Times Higher Education (THE) 2015, apabila tidak banyak sarjana tempatan disebut sebagai antara yang terbaik di dunia, kata pengukur indeks global itu.

Senarai 100 universiti terkemuka yang dikeluarkan semalam termasuklah dua dari Singapura, berdasarkan kaji selidik terbesar mengenai pengajian terkemuka seluruh negara, kata Pengarang THE Phil Baty (gambar, kiri).

"Selagi ahli akademik menamakan mereka sebagai antara yang terbaik di dunia, ia akan tersenarai dalam carta," kata Baty kepada The Malaysian Insider melalui e-mel.

"Malangnya, tidak ramai sarjana dunia yang menyebut universiti Malaysia sekali gus tidak dapat melayakkannya tersenarai dalam carta 100. Singapura ada dua kemasukan tertinggi, Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) di tempat ke-24 dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) di kedudukan antara 91-100."

Malaysia tidak pernah tersenarai sejak lima tahun lalu, walaupun Menteri Pendidikan Datuk Seri Idris Jusoh dalam kenyataan baru-baru ini berkata universiti tempatan bertaraf antarabangsa dan setanding dengan universiti di United Kingdom (UK), Jerman, dan Australia.

Tidak seperti Malaysia, tiga negara terbabit berada dalam antara senarai teratas Carta Reputasi Dunia THE 2015.

Universiti di Amerika Syarikat merupakan negara terbanyak tersenarai dalam kedudukan 43, diikuti UK (12), Jerman (6) dan Australia (5).

Universiti Harvard masih mengungguli carta, diikuti Universiti Cambridge, dan Oxford. Institut Teknologi Massachusetts jatuh kepada nombor empat berbanding tempat kedua tahun lalu, dan Universiti Standford berada di kedudukan kelima.

NUS dan NTU merupakan satu-satunya institut di negara Asia Tenggara yang tersenarai, namun NUS jatuh daripada kedudukan 21 kepada 24, manakala NTU kekal dalam lingkungan 91 hingga 100.

Universiti Asia lain yang berada dalam kedudukan 50 tertinggi adalah Universiti Tokyo, Jepun (12), Universiti Tsinghua, China (26), Universiti Kyoto di Jepun (27), dan Universiti Peking, China (32).

"Penentuan kedudukan amat mudah dan kukuh. Ia semata-mata berdasarkan penilaian subjektif, fokus tentang pendidikan unggul dan penyelidikan yang dijalankan oleh ahli akademik daripada seluruh negara dan pandangan mereka juga amat penting untuk diambil kira," kata Baty dalam kenyataan media.

"Reputasi akademik universiti global amat penting, bukan hanya memberi pengaruh kepada PELABURAN dan pembiayaan dana, malah membantu universiti membangun dan memupuk aset tunggal terbesar, iaitu penuntut dan bakat akademik."

Keputusan 2015 ditetapkan daripada kaji selidik 10,507 responden daripada ahli akademik kanan yang menerbitkan jurnal dan bekerja di bidang pengajian tinggi dalam lingkungan 15 tahun, kata THE.

Ahli Parlimen DAP Serdang Dr Ong Kian Ming ketika dihubungi tidak menunjukkan rasa terkejut apabila Malaysia tidak tersenarai.

"Ini satu peringatan yang baik buat Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh yang universiti Malaysia masih tidak berganjak langsung ke arah status bertaraf dunia walaupun beliau mengatakan Malaysia memiliki sistem pendidikan bertaraf dunia," katanya.

Katanya, Idris dengan mudah merujuk kepada Kedudukan QS Dunia apabila Malaysia berada dalam kedudukan 300 teratas, tetapi tidak diiktiraf dalam kedudukan lain seperti THE.

"Saya rasa Idris perlu fokus mengenai cara meningkatkan tahap universiti awam ke arah lebih baik, tetapi pada masa sama perlu mengakui kita masih tidak menuju ke tahap status universiti berkelas dunia," katanya.

Mengikut kedudukan QS Universiti Dunia pada tahun lalu, Universiti Malaya (UM) berada di kedudukan 151 manakala Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berada di tempat 259. Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di tempat 294, manakala Universiti Sains Malaysia (USM) (309) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) (376).

Tahun lalu, Baty menyatakan kekecewaannya terhadap UM dan UKM kerana tidak menghantar data untuk memenuhi syarat tersenarai carta, sekali gus terlepas peluang melayakkan diri untuk dinilai dalam kalangan universiti lain sedunia.