SHAH ALAM - Pegawai penyiasat kes bunuh eksekutif pentadbiran stesen televisyen TV9, Nur Syaleza Jaafar mengaku siasatannya tidak lengkap dan tidak berpuas hati terhadap keseluruhan siasatan kes itu.
Pegawai Bahagian Koordinasi Kementerian, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Asisten Superintenden (ASP) Shamzury Saman, 43, berkata demikian hari ini setelah ditanya Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Abdul Halim Aman.
Pegawai polis itu memberitahu, terdapat kecacatan dalam siasatan tersebut antaranya gagal membuktikan motif kejadian, gagal membawa saksi mata terhadap kes itu, tiada siasatan dilakukan terhadap kerusi kecil yang patah dalam bilik tempat kejadian berlaku dan kemurungan yang dialami mangsa.
Jelas beliau, siasatannya terhadap kes itu adalah berasaskan bedah siasat yang dilakukan oleh doktor terhadap mangsa yang menemukan kesan kecederaan baharu dan lama pada tubuh mangsa.
“Selain itu siasatan adalah berasaskan keadaan pintu bilik yang pecah, almari solek yang patah tetapi cermin tidak pecah dan keadaan kipas di siling rumah yang dikatakan untuk menggantung diri yang masih mempunyai habuk selepas kejadian,” kata saksi pendakwaan ke-24 itu.
Shamzury yang juga merupakan saksi terakhir pendakwaan berkata demikian semasa disoal semula Timbalan Pendakwa Raya, Rosidah Abu Bakar dalam perbicaraan terhadap Norazman Bashah Ahmad Azam, 33, yang menghadapi pertuduhan membunuh isterinya itu.
Bekas Eksekutif Bahagian Teknologi Maklumat syarikat gas dan minyak itu didakwa membunuh Nur Syaleza, 31, di kediamannya di No 115, Tingkat 1 Blok O, Apartmen Saujana, Jalan PJU 10/1C, Damansara Damai, antara pukul 12 tengah hari dan 7.30 malam, 28 Julai 2012.
Sementara itu saksi itu juga berkata, beliau tidak pernah mendapat maklumat tentang kemurungan yang dialami mangsa dan tidak pernah menyiasat kes kematian yang berpunca daripada kemurungan.
Malah katanya, mesej ‘Sabarlah duhai hati’ yang dikatakan ditulis mangsa dalam telefon bimbit jenis Blackberry miliknya hanya diketahui hari ini setelah diberitahu peguam Muhammad Fadhli Sutris dan Shah Rizal Abdul Manan semasa sesi soal balas.
Shamzury juga mengakui siasatannya banyak bergantung terhadap siasatan yang dilakukan ahli kimia dan pihak forensik serta beranggapan siasatan keseluruhan telah dibuat oleh pihak tersebut di tempat kejadian.
Mahkamah kemudian menetapkan 16 Mac ini untuk kedua-dua pihak mengemukakan hujahan penggulungan dan 26 Mac untuk keputusan pada akhir kes pendakwaan. Utusan Online