HONDA Malaysia tampil memperkenalkan SUV Kompak menerusi pelancaran HR-V serba baharu yang sememangnya mempunyai kelebihan tersendiri.
HR-V yang bermaksud “Hip & Smart Runabout Vehicle” direka dengan konsep istimewa selepas menerima maklum balas daripada para pelanggan yang mahukan sebuah SUV mampu milik bersama aspek keselamatan dan status serta kegunaan yang tinggi.
Model terbaharu ini mampu menyediakan kesemua elemen tersebut dengan menggabungkan aspek kelasakan dan dalam masa yang sama mampu membawa citarasa seperti sebuah Coupe dan mempunyai utiliti seperti sebuah ‘minivan’.
HR-V serba baharu nyata telah mencipta gelombang populariti di setiap negara ia dilancarkan dan kini menjadi SUV Kompak paling laris di Jepun. Malah turut menerima maklum balas serta tempahan yang begitu memberangsangkan di Thailand dan juga Indonesia.
Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia, Roslan Abdullah berkata, di Malaysia, segmen SUV menunjukkan pertumbuhan yang ketara sejak beberapa tahun ini.
“Pada tahun 2010, segmen SUV hanya mencatatkan jualan sekitar 18,000 unit. Dalam tempoh lima tahun, segmen ini telah berkembang sebanyak 74 peratus kepada 31,000 unit dengan perkongsian pasaran sebanyak 4.7 peratus.
“Di sebalik pertumbuhan yang pesat ini, segmen SUV masih didominasi oleh SUV yang lebih besar. Ini bermakna, tiada SUV yang sesuai atau mampu milik untuk mereka yang ingin menaik taraf daripada kenderaan segmen asas.
“Segmen SUV tidak mempunyai model kompak yang mampu merapatkan jurang di antara SUV lebih besar dengan sedan asas dan dengan kelebihan dan permintaan yang positif, Honda Malaysia telah menetapkan sasaran jualan yang mencabar iaitu sebanyak 700 unit setiap bulan,” jelasnya ketika memperkenalkan produk terbaharu keluaran Honda ini pada Khamis.
SUV Kompak Dinamik ini adalah sebuah kenderaan yang sesuai buat golongan Gen-Y yang masih bujang, berpasangan serta keluarga muda yang menghargai gaya hidup masing-masing.