Kata Mary, beliau dimaklumkan oleh pakar perubatan forensik Hospital Kuala Lumpur Dr Siew Sheue Feng berdasarkan laporan bedah siasat, serta tidak menolak kemungkinan mangsa berada dalam keadaan bergari dan tidak berdaya mempertahankan diri ketika dipukul.
“Doktor pakar yang sahkan sendiri, ada bukti mengatakan suami saya dipukul sambil digari.
“Polis kejam macam ini, tak ada belas kasihan langsung,” kata Mary ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Tinggi di Jalan Duta, semalam.
Semalam, perbicaraan empat anggota polis termasuk seorang berpangkat Inspektor yang didakwa membunuh tahanan lokap N Dhamendran disambung.
Tiga anggota Sarjan Jaffri Jaafar, Koperal Mohd Nahar Abd Rahman, Koperal Haswadi Zamri Sahari bersama pegawai Inspektor S Hare Krishnan didakwa terlibat dalam pembunuhan tahanan tersebut.
Kesemua mereka diberi tugasan pejabat di IPPKL, ia sebagai langkah bagi memudahkan laluan siasatan Bukit Aman berhubung kes kematian tahanan berkenaan di lokap.
Dhamendran 31, ditemui mati di dalam lokap polis 10 hari selepas dia ditahan reman pada 21 Mei 2013 berhubung kes cubaan membunuh melibatkan senjata api.
Polis pada mulanya mendakwa bahawa Dhamendran meninggal dunia akibat kesukaran bernafas. Namun, bedah siasat mendapati dia mengalami 52 kecederaan, termasuk dikokot di telinganya.
Tambah Mary, suaminya menghidap penyakit asma, tetapi mengapa terdapat luka di bahagian dadanya.
“Saya terkejut tengok ada lebam di bahagian badan dia. Paling saya sedih kedua-dua belah telinganya ‘distapler’ ada dawai stapler di telinganya.
“Saya nak mahkamah profesional walaupun membabitkan pihak polis. Bukti dah ada,” jelasnya.
Sumber Keadilan Daily